Friday, March 16, 2012

A rolling stone gathers no moss... tapi...

Awan hitam-tebal-berat dari barat berarak perlahan-perlahan ke timur.  Perlahan-perlahan jugalah sinar matahari petang jam4 ditampan, dan beransur-ansur hilang sinarnya yang menyuluh bumi yang jauh di pedalaman ini, sehinggalah tiada lagi sinarnya yang mampu mencecah di bumi, hanya refleksi siang sahaja yang masih ada namun agak suram. Mendung. 

Setibanya awan hitam-tebal-berat itu melewati lurah yang menempatkan kediaman warga yang hidup di bumi yang jauh di pedalaman ini, segala isinya dilepaskan menjadi hujan yang mencurah-curah. Angin panas yang tadinya membawa bahang hangat bumi kini menjadi angin sejuk-menggigit hingga ke tulang.

Azlan... Azlan masih lagi berada di hujung conveyor tandan kosong sambil melihat-pandang awan hitam-tebal-berat yang bergerak dari arah barat. Dia lantas berganjak menuju-berada di dalam bangunan kilang, kerana dia tahu, sebentar lagi pasti hujan turun, dan benar, hujan sungguh lebat. Azlan masih lagi mengelamun-berfikir sambil matanya melihat pekerja yang berada di Stesen Vertical Steriliser sedang menuang buah kelapa sawit yang telah masak masuk ke dalam conveyor. 

Azlan masih teringat kata-kata dari bosnya yang bergelar General Manager yang berstatus Director 6 tahun yang lalu. Ketika itu Azlan memandu kereta Mitshubishi Storm sedang membawa tuan General Manager ke kilang yang diuruskannya. Azlan masih ingat ketika itu, Azlan masih ingat bahawa kedatangan tuan General Manager bertujuan memujuknya agak usah mengundur diri kerana Azlan berkerja di syarikat yang besar berstatus berhad dan bersaham yang diniagakan di Bursa Malaysia, yang mempunyai banyak kelengkapan, prasarana dan potensi memajukan diri sentiasa menunggu. 

Azlan masih ingat ketika itu dia hanya mampu menjawab dengan senyuman, sehinggalah apabila tuan General Manager benar-benar diam, baharulah Azlan memulakan kata. 
"Saya mempunyai alasan yang munasabah dan kukuh, tuan haji." "Things happen for reasons," sambung Azlan lagi. 
Tuan Genenral Manager masih lagi mendiamkan diri, sedang Azlan mengintai-ngintai gelagat dan gerak tuan General Manager melalui ekor mata. Tuan General Manager bereaksi membetul-betulkan duduk sambil melurut-kemaskan kemeja bercorak petak-petak berwarna merah berselang-pangkah dengan warna kuning dan bergarisan halus hitam. 
"Saya faham tuan haji, saya mungkin rugi dalam banyak hal dalam berkarier kerana syarikat baru yang saya akan berkhidmat adalah sebuah syarikat yang agak kecil. Ya, bak kata orang 'a rolling stone gathers no moss.' Mungkin ada benda yang baik menunggu.!" Azlan cuba menghidupkan suasana sembang-borak.

"Memang benar kata orang 'a rolling stone gathers no moss', tapi 'a rolling stone gets polishes'. Ke manapun ko pergi kau boleh berjaya. Cuma, kita nak ko bersama dengan kita." Balas tuan General Manager tiba-tiba.

Ketika hujan masih lagi mencurah-curah turun, Azlan bergerak-berjalan menuju ke pejabatnya. Pejabatnya yang tidak dihubungkan dengan bangunan kilang, dan, tiada juga dihubungkan dengan atap. Azlan meredah sahaja hujan, dan apabila sampai di teres pejabat kilang, sudah basah kuyup.

Berdiri di teres pejabat, Azlan teringat email yang dihantarnya kepada seorang kawan yang berada di tanah semenanjung 2 tahun lepas. Ketika itu, di Sarawak sedang rancak persediaan untuk pilihanraya negeri. Pilihanraya negeri untuk hanya Sarawak tidak serentak dengan negeri-negeri lain di Malaysia, dan ketika itu juga sangat hebohlah menjadi perbualan di kedai kopi, bahawa akan berlaku gelombang perubahan politik di Sarawak, terutamanya di kawasan bandar. 
Ringkas sahaja email daripada Azlan,"why worry so much, if it is time for change, just change la." 
Masak Azlan ketika itu dimarahi oleh kawannya yang sangat-sangat tidak bersetuju dengan pendapat Azlan yang seakan-akan acuh-tak-acuh, tidak berperasaan, dan, tidak berpendirian tegas. Azlan tidak mampu membalas email balasan kawannya itu.

Dan setiap kali Azlan keluar dari tempat kerjanya yang jauh di pedalaman, balik ke rumah bersama-sama keluarganya di Miri, Azlan melihat bandar yang dari dahulu sehinggalah sekarang, yang warganya masih juga tertib. Walaupun kini wakil rakyat adalah dari parti politik yang bukan memerintah.

Dan setiap kali serentak dengan itu jugalah, Azlan teringat kata-kata tuan General Manager 6 tahun yang lalu ketika dia memandu-menghantar pulang tuan General Manager ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. 

"In a chaotic situation, there is always a system existed. A system that demands for a better system to be implemented..."


.

2 comments:

Nizam.Ariff said...

aku suka ko cerita bab lurah tu...

kembangkan sikit... keh keh keh

sepa said...

dino,

cam neyh, ke.?

"Azlan suka berdiri di sisi tingkap di pejabat pengurus kilang, yang ada dua tingkap, satu menghadap ke arah selatan dan satu lagi menghadap ke arah barat. Azlan paling kerap berdiri di sisi tingkap yang menghadap ke arah barat. Dia suka melihat awan yang datang dari balik bukit sana, dari arah barat, terutamanya di sebelah petang, yang sering menghala ke arah timur, dan akan bertembung dengan mentari yang mengesot-esot turun ke arah barat. Rutin mentari itu, dilihatnya seperti sedang bertegur-sapa bersalam salaman dengan awan, dan, lenyap di balik bukit sana, meninggalkan mega merah di kulit awan."