Monday, May 27, 2013

Botol dakwat Shaeffer, ada telaga-dakwat...!!!

.
Di kedai Popular, ada dua lorong untuk ke kaunter. Satu lorong dikhaskan untuk yang menggunakan bbim.
.
Di satu sudut di bahagian stationery ada sebuah kaunter yang ada almari kaca, di dalam almari kaca itu ada banyak pen fountain diperagakan, Azlan hanya berminat untuk membeli dakwat sahaja. Apabila Azlan menunjuk ke arah kotak-kotak dakwat yang diperagakan, Sales Promoter kata, dakwat itu bukan untuk dijual tetapi, adalah free-gift atas pembelian sebatang pen fountain. Tidak dijual, katanya. Di kotak pen fountain itu ditulis RM168. Walaupun Azlan sangat memerlukan dakwat itu, adalah sangat tidak masuk-akal untuk membeli sebotol dakwat bersama sebatang pen fountain. Azlan menggaru-garu dagu, lalu dilurut-lurut beberapa helai janggut - sebuah isyarat kekecewaan, kerana dia baru sahaja memberitahu dak Dino lewat blog bahawa dakwat pen fountain mungkin ada di Popular... (adakah mungkin, dakwat habis kerana diborong oleh brader spr, untuk mengecat jari pemilih-pemilih di pru13...?!)
.
 
.
...di Bintang MegaMall itu, kedai Popular adalah bertentangan dengan Parkson. Azlan ke Parkson pula, terus ke kaunter yang memperagakan pen fountain. Sales Promoter kata, kaler merah sahaja yang tinggal, untuk pen Parker. Kamu guna pen apa, tanya promoter itu. Shaeffer. Shaeffer ada, last satu botol, kaler biru katanya... ada jugakla yang tertinggal buat Azlan.
.
 
.
 
.
Nota ringkas kepada saudara Dino :
Salam. Aku baru beli dakwat. Usahla ko risau lagi tentang nasib pen fountain Shaeffer itu. (Shaeffer boleh disebut Sepa - kerana mungkin depa suka tulis-tambah huruf supaya lebih panjang perkataannya...).
Cuma, yang aku kurang berkenan, botol dakwat itu serupa botol tonik 'Tenaga Batin', tetapi, tidak mengapalah...!!!
Oya, di kesempatan ini, aku nak ucapkan terima kasih kat ko - kerana tak pergi ngundi, sekurang-kurangnya, masih ada sebotol yang tinggal untuk aku...!
.
 
 
 
 
.
salam.
.

Saturday, May 25, 2013

Pandanglah ke utara... kerana di utara itu ada sebuah cinta yang hadir, walau seketika cuma...!!!


.

Dino pesan roti canai (kosong katanya) dan teh tarik (nak 29 buih katanya). Jamal tidak perlu pesan, dia hanya mengangguk, dan tunjuk 2 jari. Makcik Wok sendiri yang menghantar pesanan mereka.

'Sesetengah orang mempunyai impian yang tinggi-melampau, yang apabila mereka cuba untuk menggapai impian itu, nama mereka tercetak dalam sejarah sudah terjamin...!', kata Jamal kepada Dino ketika sedang mengunyah roti canai - penuh di mulut, ada bunyi kecil bertingkah berkocak kecepak kecepuk dalam suaranya itu. Dino pula sedang menelan sisa dan saki baki roti canai yang berasimilasi di dalam rongga mulut, lalu menghirup pula sedikit teh tarik, mengangkat kepala memandang ke arah utara. Sejak dari mula-mula sampai tadi, Dino sekejap-sekejap memandang ke arah utara.

'Berpaut pada kisah lalu, dan mencari kerisauan dan meresahi nasib di masa hadapan... adalah suatu penyiksaan...!!!', balas Dino.

Pemandangan di arah utara berbeza dengan arah selatan. Di arah utara, banyak rumah teres, di arah selatan pulak banyak banglo (besar-besar banglo itu). Sekiranya kita melihat di arah selatan dan selepas itu kita melihat di arah utara pulak, rumah-rumah yang di arah utara itu akan kelihatan seperti rumah-rumah setinggan...

'Segala-galanya..., tentang perubahan.!!!', pintas Jamal.

'Tidak perlu engkau risau sangat tentang itu. Setiap daripada kita pasti sampai ke satu istilah... kegagalan...!!!', Dino cuba menenangkan Jamal, yang nampak tertekan jiwanya dan seperti terperangkap dalam keadaan yang tidak berjiwa. Ada senyuman sinis daripada Dino.

Dino masih lagi terpandang-pandang ke arah utara, ada ketikanya memerhati pula gelas teh tarik yang sudah kosong, yang tinggal hanyalah beberapa butir buih yang masih melekat di dinding dalam gelas itu. Jamal terpegun melihat Dino itu. Senyap-senyap, dia ke kaunter membayar, lalu beredar, meninggalkan Dino duduk seorang diri - bersendirian (bertafakur mungkin). Sekejap-sekejap Dino tunduk, memicit-micit dahi, sekejap-sekejap mendongak semula, memandang ke arah utara, sedang mengintai... merenung lebih lama lagi.!, kerana dari simpang tiga di arah utara itula Nila akan muncul.

Semalam, tatkala Nila muncul dari simpang itu, bagai sebuah cahaya sedang memancar, tiada kelihatan pula segala benda kecuali Nila, tiada kedengaran sebarang bunyi melainkan bunyi derap dari langkah kaki Nila dan haruman bunga tanjung. Itu perasaan Dino. Semakin Nila menghampiri gerai makcik Wok, semakin menunduk pula Dino, menahan debar di jantung yang semakin berdetak. Hari ini, Nila tidak muncul-muncul...

'Nila tak turun hari nih, nak Dino.! Dia ke Kuala Lumpur, nak beli Wacoal katanya...!', makcik Wok menepuk bahu Dino.

 

 

.

 

.

 

salam.

.