.
PRELUDE :
ini cerita tentang awan... ditujukan kepada Dino, yang sejak kebelakangan ini terpesona oleh keindahan awan, terpukau oleh rupabentuknya, sehinggakan awan yang terapung di tujuh petala langit itu dinampaknya satu pasukan tentera yang sedang mara ke satu daerah di satu negara yang rakyatnya hidup lara dan mungkin sedang menderita...!!!
.
Di tivi, yang ada khidmat Astro, di Channel637-Disney XD, cerita Ninja Warrior sedang terpapar dikacanya - yang terisi sejenis gas, plasma. Hasif melatih dirinya, bergayutan di langsir meniru gaya 'rope-climbing', Hatta pula sedang masyuk dengan PSPnya, Hanna hanya duduk melayan gambar bergerak di skrin tivi itu, dan Husna pula melatih bakat melukisnya menggunakan tablet Bamboo melakarkan karektor-kartun dalam Photoshop CS6. Azlan memasuki ruang tamu itu, dan duduk di sofa satu-seater, yang memang diketahui oleh seisi rumah - sofa satu-seater itu seat untuk master Azlan, Hanna di sebelahnya. Azlan sedia maklum, Ninja Warrior mesti dilayan semua, kerana ada Hasif. Hasif akan marah sekiranya Ninja Warrior ditukar cerita lain. Azlan faham itu, maka itu Azlan sengaja membiarkan dirinya melayan cerita realiti berbentuk sukan itu.
"Hanna, tahukah kamu apa maksud pokok hari.?!" Azlan bertanya kepada Hanna - yang sedang nampak membosankan diri kerana terpaksa melayan cerita Ninja Warrior itu.
"Tak. Tak tau. Bukan buah, kan.?! jawab Hanna.
"Ha ah... memangla bukan buah, tapi simpulan bahasa...!!!" balas Azlan. Hanna masih lagi menggeleng-gelengkan kepala, tanda memberi jawapan yang dia masih tidak faham maksud pokok hari itu.
"Baiklah, biar papa cerita... dan dari cerita itu, mungkin kamu boleh menafsirkan maksudnya..." tambah Azlan.
.
*****
Dulu. Lama Dulu. Suatu ketika, di ketika itu Azlan, yang berumur 8tahun mungkin 9tahun, bangun agak awal di pagi itu. Niatnya, untuk meminta kebenaran daripada emaknya untuk ke padang bola di petangnya bersama-sama jiran-jiran yang sebaya dengannya dan ada beberapa orang yang lebih tua dan ada jugak yang lebih muda.
"Mak, petang ni saya nak pergi main bola, boleh, tak.?!" tanya Azlan ketika emaknya sedang mencuci pingganmangkuk dan ada dua buah periuk. Kelazimannya, ke mana sahaja kakinya hendak melangkah, asalkan keluar dari pintu rumah, Azlan pasti akan meminta restu daripada emaknya.
"Di mana korang main.?" jawab emak Azlan, dalam bentuk soalan.
"Di padang bola dekat surau nun, di sebelah tadika," sahut Azlan.
"Tak payah la ko pergi, tengok langit tu...!!!" emak Azlan membalas sambil jari telunjuknya menuding ke arah kaki langit, lewat jendela berdaun kayu dihadapannya.
Azlanpun merapati dirinya di muka jendela itu, dilihatnya di langit, ada awan. Awan itu berupa beruang-beruang bergelutan, bisik hatinya.
"Kenapa langit.?!" tanya Azlan lagi.
"Pokok hari... hitam...!"
Azlan menjenguk ke luar dari jendela itu, sekali lagi. Kali ini, dilihatnya awan-awan di langit itu, dia seperti sedang menghayati sebuah lukisan yang berupa rama-rama menghurungi sekuntum bunga.
.
.
Gelap kelam langit dipenuhi awan hitam di ufuk, segelap dan sekelam itu jugalah harapan Azlan untuk bermain bola dengan jiran-jirannya yang sebaya dengannya dan ada beberapa orang yang lebih tua dan ada jugak yang lebih muda. Azlan melangkah lesu ke ruang tamu, mencapai radio transistor di atas meja makan, dibawanya sekali. Radio transistor itu sedang berkumandang lagu Layang-layang Terputus Talinya nyanyian Alleycats yang bersiaran di saluran nasional di 576AM, sempat jugak dia menoleh tivi berjanama Carol, yang disambungkan ke terminal bateri kereta. Hitam putih tivi itu, siaran RTM bermula petang selepas jam4, kalau tidak, tentu Azlan menonton tivi.
Azlan ke kerusi panjang, mencapai buku Tawarikh abangnya, membelek-belek buku itu, sehinggalah di mukasurat tengah-tengah buku. Azlan berbaring di kerusi panjang itu, meletakkan radio transistor di atas lantai, buku Tawarikh pula diserkup ke muka... dan Azlan tidur...!!!
.
Azlan terbangun dari tidur apabila hampir masuk Asar, kerana terkejut oleh deram derum deram bunyi dari luar rumahnya. Azlan perlahan-lahan bangkit dari baringan, melepaskan kuap, meregangkan tangan, meregangkan kaki, ditelengnya kepala ke kiri ke kanan pula, lalu duduk lesu, membelakangi tingkap itu. Bunyi deram derum deram terdengar lagi, di luar sana - dari langit luas bunyi itu, ada juga cahaya yang sekejap-sekejap datang mengejut-ngejut. Azlan memusingkan badannya, dan menyelak bilah cermin tingkap itu, dilihatnya langit. Dia melihat, di langit itu, ada seekor naga berlegar di angkasa ternganga mulutnya menyemburkan api berbunga...!!!...
.
*****
.
"Dah... dah...! cerita dah abis, kamu sudah faham, apa itu pokok hari.?!" tanya Azlan kepada Hanna, Hanna yang sedang mula mengantuk melayan cerita daripada paknya.
"...adakah pokok hari itu... 'weather forecast'...?!" jawab Hanna penuh yakin.
Azlan mengangguk...
.
salam.
.
*****-----*****
Jika awan kelihatan mendung bergumpal-gumpal di kaki langit, akan berlaku hujan ribut.
*****-----*****
.
apa apa pun, aku tetap suka awan yg bawa angin ribut..ganas dan mengaum..
ReplyDeletepokok hari... hmm, bagus sungguh penjelasannya, aku suka dan aku jadi percaya.. hingga aku cari benarkah 'pokok hari' itu wujud..
ReplyDelete